Thursday, November 26, 2009

SELAMAT HARI RAYA KORBAN


SYARIAH ISLAMIAH
KORBAN

  • Konsep Korban
Penyembelihan binatang al-an'am yang dilakukan pada hari ke-10 zulhijjah sehingga akhir hari tasyrik(11,12,13). Ia dilakukan dengan tujuan kerana Allah.
  • Hukum Berkorban
Hukumnya adalah sunat muakad(yang sangat dituntut) bagi orang yang berkemampuan melakukannya tetapi bagi Rasulullah SAW korban ialah wajib.
Dalam sebuah keluarga, korban memadai dilakukan oleh seseorang ahli keluarga terutamanya ketua keluarga kerana hukumnya adalah sunat kifayah.
Korban menjadi wajib apabila seseorang bernazar hendak melakukannya seperti ia berkata "Lembu itu untuk Allah" atau "Kambing itu untuk Allah".
  • Sejarah Disyariatkan Korban
Disyariatkan pada tahun ke-2 hijrah sebagai mengingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS.
  • Rukun-rukun & Syarat-syarat Korban
  1. Binatang al-an'am iaitu unta, kerbau, lembu dan semua jenis kambing
  2. Binatang tidak mempunyai sebarang kecacatan yang buruk.
  3. Masa bermula pada hari raya korban selepas sembahyang hari raya dan pada hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 zulhijjah.
  4. Orang yang dituntut membuat korban iaitu Islam, merdeka, bermukim, berkemampuan dan berakal serta baligh.
  • Perlaksanaan Korban
* Masa perlaksanaan korban hendaklah dilaksanakan di antara selepas solat sunat aidiladha dengan 2 khutbah sehingga terbenam matahari pada hari tasyrik yang terakhir iaitu 13 zulhijjah. Selain dari tarikh itu, tidak dinamakan korban tetapi sedekah.

* Binatang yang boleh dikorbankan ialah binatang al-an'am sahaja.

* Umur binatang-binatang yang boleh dikorbankan.
1. Unta - 6 tahun
2. Lembu dan kerbau - 3 tahun
3. Kambing dan kibas - 3 tahun
4. Biri-biri - 2 tahun dan selepas berganti gigi setelah umur 6 bulan.

* Hendaklah bebas daripada sebarang penyakit dan tidak mempunyai kecacatan anggota yang mengurangkan dagingnya.
* Korban hendaklah berniat ketika menyembelih atau mewakilinya kepada orang lain.
* Disunatkan hadir untuk menyaksikan penyembelihan itu.
  • Sunat Korban
  1. Orang yang melakukan korban hendaklah menyembelih sendiri binatang korban jika ia mampu.
  2. Penyembelihan hendaklah dilakukan dengan menghadap kiblat.
  3. Alat yang digunakan untuk menyembelih hendaklah tajam.
  4. Hendaklah membaca bismillah, selawat atas Nabi dan bertakbir sebelum dan selepas bismillah serta doa.
  • Hikmah Korban
  1. Sebagai mengingati dan menghayati peristiwa dan semangat korban yang dilakukan pada Nabi Ibrahim dengan Nabi Ismail.
  2. Dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.
  3. Memupuk sifat ikhlas, takwa, sedia berkorban kerana Allah untuk meninggikan syi'ar Islam.
  • Pengagihan Daging Korban
  1. Korban hendaklah dibahagi-bahagikan kepada Islam terutamanya fakir dan miskin, serta kaum kerabat.
  2. Haram diberi kepada orang kafir.
  3. Orang yang buat korban disunatkan untuk memakan daging korban tersebut.
  4. Orang yang menerima daging korban, jika dia fakir dan miskin, dia boleh makan daging tersebut, menyimpannya atau menjualnya, kerana daging itu menjadi haknya.
  5. Tetapi jika kaya, dia hanya boleh makan sahaja tetapi tidak boleh menjualnya.


Wednesday, November 25, 2009

Mu'jizat Nabi Muhammad SAW

Binatang Bercakap

Kisah lain ialah seekor serigala telah bercakap-cakap dengan seorang pengembala kambing dan menceritakan tentang kerasulan Nabi. Kisahnya bermula apabila seekor serigala telah melarikan seekor kambing. Maka pengembala kambing itu terus mengejar serigala itu sehingga dapat. Lalu serigala itu melepaskan kambing yang ditangkapnya dan menggerak-gerakan ekor dan berkata kepada pengembala kambing yang berjaya mengejarnya itu;

"Tidakkah engkau takut kepada Allah kerana mencabut rezeki yang telah ditetapkan Allah kepadaku?"

Pengembala kambing itu sangat terkejut mendengar serigala bercakap dengannya itu. Dia pun berkata;

"Ajaib sekali, serigala bercakap-cakap kepadaku dengan perkataan manusia sambil menggerak-gerak ekornya."

Maka serigala itu menjawab pula;

"Aku akan mengkhabarkan kepada engkau perkara yang lebih ajaib lagi, iaitu Nabi Muhammad di Yathrib (Madinah) dapat mencerita kepada manusia khabar-khabar purbakala."

Dalam riwayat yang lain serigala itu berkata kepada pengembala kambing itu.

"Engkau yang lebih ajaib dari saya yang berkata bahawa engkau selalu berada di dekat kambing-kambingmu, sedangkan engkau menjauhkan diri dari Nabi yang diutuskan oleh Allah. Sedangkan tidak ada Nabi yang lebih besar daripadanya. Dan telah dibukakan baginya pintu-pintu syurga."

Kemudian pengembala kambing itu mahu pergi berjumpa dengan Nabi. Tetapi dia berkata, sayang sekali siapakah pula yang akan menjaga kambing-kambingnya itu? Dengan segera serigala itu menjawab;

"Aku yang akan menjaga kambing-kambingmu."

Setelah pengembala kambing itu pergi berjumpa Nabi dan memeluk agama Islam dan menceritakan tentang serigala yang bercakap seperti manusia serta memperkatakan tentang kebenaran risalah yang dibawa oleh baginda, maka Nabi menyuruh pengembala kambing itu kembali semula ke tempat kambing-kambingnya. Dia mendapati tiada seekor pun kambingnya yang hilang. Maka dia menyembelih seekor kambingnya lalu diberikan kepada serigala itu.

Monday, November 23, 2009

Mu'jizat Nabi Muhammad SAW

Pokok Berjalan Dan Bercakap

Abdullah bin Umar bercerita pada suatu hari dia telah berjalan dengan Nabi di dalam satu perjalanan. Tiba-tiba mereka bertemu dengan seorang Arab kampung atau orang Arab Badwi (Jika di Malaysia macam orang Asli). Nabi bertanya kepada si Badwi itu;

"Kamu hendak ke mana?"

Jawab Badwi itu, "Aku mahu balik ke kampungku."

Kemudian Nabi berkata lagi kepada orang Badwi itu.

"Apakah engkau suka kalau aku memperlihatkan kepadamu sesuatu yang akan memberi kebaikan kepadamu.

Jawab Badwi itu.

"Apakah perkaranya?"

Nabi lantas mengambil kesempatan untuk berdakwah kepada si Badwi itu dengan kata baginda ;

"Iaitu hendaklah engkau bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Utusan Allah."

Kemudian si Badwi itu bertanya kepada Nabi meminta bukti kepada baginda tentang kerasulan baginda itu. Katanya;

"Apakah engkau ada bukti yang menunjukkan bahawa engkau adalah sebenarnya seorang Utusan Allah?"

Kemudian Nabi menjawab dengan lemah lembut tetapi tegas.

"Pohon (korma) itu akan menjadi saksinya."

Kemudian Nabi memanggil pohon korma yang berada di seberang lembah, tiba-tiba akar atau umbi pohon korma itu terus terbongkar atau terangkat dari bumi dan terus berjalan ke arah baginda. Setelah berdiri di hadapan Nabi, pohon korma itu terus bersyahadah sebanyak tiga kali serupa yang baginda minta si Badwi itu mengucapkannya. Kemudian pohon korma itu kembali semula ke tempatnya.

Si Badwi itu terus memeluk Islam dan berkata kepada Nabi;

"Kalau kaumku mahu mengikut ajaranku untuk memeluk Islam, nanti aku akan datang lagi bersama-sama mereka (ke hadapanmu dan belajar tentang agama Islam daripadamu). Tetapi kalau mereka tidak mahu menerima ajaranku, aku akan kembali lagi ke sini dan akan hidup bersama-samamu selama-lamanya."

Sunday, November 22, 2009

ISLAM MUJAHID


Assalamualaikum w.b.t

Kepada semua pembaca, saya alu-alukannya.
Kepada semua muslimin dan muslimat.
Ingatlah kepada Yang Esa.
Sama-samalah kita bertaubat kepadanya.
Kita tahu waktu zaman jahiliah dulu kita sangat zalim dan jahil.
Jadi sekarang sekarang sama-samalah kita bertaubat ke hadrat ilahi.
Ingatlah Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.
Ops... terlupa satu lagi.
Tanggungjawab yang amat besar ialah kita sebagai manusia.
Allah telah melantik kita manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.
Ingatlah kita wajiblah berdakwah.
Dalam surah at-tin ayat 4 yang bermaksud Sesungguhnya telah Kami ciptakan manusia dalam bentuk yang paling (sebaik-baik kejadian).
Ayat ini jelas bahawa kita sebagai makhluk yang diciptakan sebaik-baik kejadian berbanding makhluk-makhluk lain.