Wednesday, November 25, 2009

Mu'jizat Nabi Muhammad SAW

Binatang Bercakap

Kisah lain ialah seekor serigala telah bercakap-cakap dengan seorang pengembala kambing dan menceritakan tentang kerasulan Nabi. Kisahnya bermula apabila seekor serigala telah melarikan seekor kambing. Maka pengembala kambing itu terus mengejar serigala itu sehingga dapat. Lalu serigala itu melepaskan kambing yang ditangkapnya dan menggerak-gerakan ekor dan berkata kepada pengembala kambing yang berjaya mengejarnya itu;

"Tidakkah engkau takut kepada Allah kerana mencabut rezeki yang telah ditetapkan Allah kepadaku?"

Pengembala kambing itu sangat terkejut mendengar serigala bercakap dengannya itu. Dia pun berkata;

"Ajaib sekali, serigala bercakap-cakap kepadaku dengan perkataan manusia sambil menggerak-gerak ekornya."

Maka serigala itu menjawab pula;

"Aku akan mengkhabarkan kepada engkau perkara yang lebih ajaib lagi, iaitu Nabi Muhammad di Yathrib (Madinah) dapat mencerita kepada manusia khabar-khabar purbakala."

Dalam riwayat yang lain serigala itu berkata kepada pengembala kambing itu.

"Engkau yang lebih ajaib dari saya yang berkata bahawa engkau selalu berada di dekat kambing-kambingmu, sedangkan engkau menjauhkan diri dari Nabi yang diutuskan oleh Allah. Sedangkan tidak ada Nabi yang lebih besar daripadanya. Dan telah dibukakan baginya pintu-pintu syurga."

Kemudian pengembala kambing itu mahu pergi berjumpa dengan Nabi. Tetapi dia berkata, sayang sekali siapakah pula yang akan menjaga kambing-kambingnya itu? Dengan segera serigala itu menjawab;

"Aku yang akan menjaga kambing-kambingmu."

Setelah pengembala kambing itu pergi berjumpa Nabi dan memeluk agama Islam dan menceritakan tentang serigala yang bercakap seperti manusia serta memperkatakan tentang kebenaran risalah yang dibawa oleh baginda, maka Nabi menyuruh pengembala kambing itu kembali semula ke tempat kambing-kambingnya. Dia mendapati tiada seekor pun kambingnya yang hilang. Maka dia menyembelih seekor kambingnya lalu diberikan kepada serigala itu.

0 ulasan:

Post a Comment