Saturday, December 12, 2009

TANDA-TANDA KEAGAMAAN RASULULLAH

Sangat Merendah Diri

Rasulullah SAW adalah seorang insan yang sangat merendah diri. Diriwayatkan oleh sahabat-sahabat baginda bahawa ketika baginda pergi naik haji ke Mekah, baginda tidak menunggang kuda atau unta, tetapi baginda pergi dengan menuganggangi keldainya yang telah tua. Di atas belakang keldainya itu baginda menghiasinya dengan kain baldu yang murah sahaja harganya. Kira-kira berharga empat dirham. Baginda berdoa kepada Allah;

"Wahai Allah! Aku berhaji tidak dengan perasaan ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia dan pula tidak untuk didengar-dengar oleh manusia."

Kata-kata Penuh Berisi


Nabi juga adalah seorang insan yang tidak suka bercakap banyak, walaupun baginda bersungguh-sungguh mahu menyatakan kegembiraan baginda apabila orang datang berjumpa baginda. Baginda tidak suka berbicara kalau faedahnya tidak ada.

Elok Pergaulannya

Baginda seorang insan yang sangat baik sekali tabiatnya. Mempunyai kesanggupan melakukan kerja, suka kepada kesederhanaan, baginda bergaul erat dalam masyarakat sebagaimana orang lain juga. Cuma baginda tidak takut melakukan perbuatan yang menjadi amalan para pemuda di masanya. Oleh kerana baginda belum diangkat menjadi Rasul Allah lagi, maka baginda tidak bersikap mencegah para kawan sebaya yang suka hidup bersukaria secara berlebih-lebihan. Baginda cuma menjauhkan diri baginda daripada kawan-kawan yang leka dengan keseronokan hidup.

Sangat Sabar

Nabi adalah seorang yang sangat penyabar. Kesabaran baginda jelas setelah baginda diangkat oleh Allah menjadi Rasul. Ketika itu banyaklah penderitaan yang terpaksa baginda tanggung akibat dari perbuatan jahat kaumnya yang tidak percaya kepada kerasulan baginda.

Ketika itu kaumnya yang terdiri daripada orang-orang Quraisy mengejek, memaki, mencaci, menjerut leher, menampar muka, melumur badan dengan najis, memboikot, memijak leher dengan kaki, menabur duri dan bermacam-maca perbuatan yang menyiksakan Nabi, tetapi baginda tidak membalasnya dengan perbuatan yang serupa itu. Ketika keluar pagi-pagi dan melihat duri-duri dan tahi binatang yang ditabur oleh kedua-dua jiran baginda iaitu Uqbah bin Abu Muaith dan bapa saudara baginda sendiri iaitu Abu Lahab di depan pintu rumah baginda, mana Nabi hanya berkata;

"Wahai Bani Abdul Manaf! Beginikah caranya manusia hidup berjiran?"

Baginda tidak bertindak lebih daripada kata-kata yang disebutkan itu. Selain itu baginda hanya berdoa;

"Wahai Tuhanku! Aku mengadu kepadamu kelemahanku, dan kerendahanku pada pandangan manusia."

Doa baginda yang lain melambangkan kesabaran baginda berbunyi;

"Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang dari segala yang penyayang, Engkaulah Tuhan bagi orang-orang yang lemah. Dan Engkaulah Tuhan! Kepada siapakah Engkau serahkan diriku? Wahai Tuhanku! Jika Engkau tidak murka kepadaku (sekiranya aku tidak menjalankan kerja yang berat ini), nescaya aku tidak peduli (lagi kerja berdakwah yang cukup berat ini)."

0 ulasan:

Post a Comment