Kelakuan dan PerangainyaSifat-sifat Nabi dari aspek perangai atau kelakuannya adalah amat menawan sekali. Tidak pernah dijumpai seorang insan yang lebih indah dan menarik perangai dan kelakuannya melebihi Nabi.
Di bawah ini dipaparkan beberapa ciri kelakuan atau perangai Nabi sebagai seorang insan yang paling baik sifat-sifat perangai dan kelakuannya.
Nabi sentiasa memelihara pakaiannya agar selalu rapi dan bersih, sangat menjaga pakaiannya walaupun ketika berada di dalam rumah, kecuali ketika berada sesama anak-anak dan keluarga termasuk hamba dan lain-lain pembantu baginda, baginda sangat menjaga serbannya, baginda amat menyukai pakaian yang berwarna putih meskipun pada akhir-akhir hidupnya baginda ada memakai pakaian yang berwarna.
Nabi adalah seorang insan yang lemah lembut. Lemah lembut bukan bererti lembek. Lemah lembut Nabi adalah lemah lembut yang sejati. Sifat lemah lembut Nabi telah menarik kesukaan orang untuk mendekati baginda.
Apabila baginda berjalan, selalu kanak-kanak datang mengelilingi baginda. Dan baginda melayan kanak-kanak dengan ramah sekali.
Apabila berjalan cepat langkahnya seperti orang yang ada tujuan yang penting di hadapannya, apabila baginda bergembira, baginda senyuman dengan seluruh hatinya, ketawanya ialah senyum, baginda tidak pernah ketawa secara kuat kecuali tiga kali sahaja selama hidupnya,
Rahsia daya penariknya ialah pada kemanisan muka dan keramah tamahannya. Apabila berjumpa dengan seseorang, baginda akan memberi salam terlebih dahulu sebelum orang memberi salam kepada baginda dan disertakan dengan huluran tangan untuk berjabat salam. Baginda tidak akan menarik tangannya sehingga orang yang dijabat itu menarik tangannya.
Dalam persahabatan, baginda sangat setia sekali. Tidak pernah baginda mengkhianati persahabatannya.
Baginda adalah seorang insan yang penyayang. Kasih sayangnya bukan sahaja terhadap manusia, tetapi juga kepada binatang. Baginda tidak pernah memukul binatang, tidak pernah menyakitkan binatang.
Bahkan ketika seekor kucingnya sedang tidur di atas kain serban atau kain selendang baginda, baginda memerlukan untuk menggunakan kain itu untuk bersolat atau pergi ke mana-mana.
Dalam pada itu baginda telah mengambil tindakan yang tidak pernah dilakukan oleh seseorang insan lain yang berhati lembut. Kerana keperluan kepada kain serban atau selendang itu dan kerana tidak mahu menyebabkan kucingnya yang sedang tidur itu terjaga dan tidak puas tidur, maka baginda telah menggunting disekeliling tempat tidur kucing baginda itu. Kucing tidak jaga dan baginda dapat menggunakan kain serban itu.
Demikianlah secebis sifat-sifat Nabi Muhammad saw dari aspek sifat-sifat jasmani dan juga perangai baginda.